Dua Penagih Dadah Ditahan Miliki Syabu Di Kalabakan

Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

KALABAKAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) bertindak menangkap dua lelaki selepas berjaya menemui dadah jenis syabu di dalam kenderaan mereka, di sini.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, DSP Abd.Halim Ahmad berkata pasukannya yang menjalankan tugas di Road Check Point (RCP) Jalan Kalabakan – Sepulut kira-kira jam 3.30 petang menahan sebuah kenderaan untuk diperiksa.

“Hasil pemeriksaan awal, pemandu kenderaan terbabit merupakan lelaki warga tempatan,33, manakala penumpangnya lelaki warga asing,28, memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,”katanya dalam kenyataan media di sini.

Syabu dan peralatan menghisap dadah milik suspek turut dirampas.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas badan pemandu terbabit berjaya menemui satu kotak hitam yang mengandungi dua paket lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Selain itu, anggota keselamatan turut menjumpai peralatan menghisap dadah di dalam genggaman tangan kiri pemandu manakala penumpangnya pula tidak ditemui sebarang benda salah.

“Kedua-dua suspek dan syabu yang dianggarkan seberat 0.70 gram itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya,”katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *