Tidak Berturap Dan Berlumpur, Penduduk Rayu Jalan Kampung Dinaik Taraf

Penduduk kampung terpaksa menarik kereta yang tidak dapat melalui kawasan jalan yang berlumpur ketika musim hujan.

TAMPARULI: Penduduk Kampung Loputung, khususnya yang tinggal di Zon Masapang dan Sinsibon merayu agar jalan yang menghubungkan kawasan kampung  dinaik taraf kerana  tidak dapat dilalui ketika musim hujan.

“Ini disebabkan jalan yang tidak berturap itu berlumpur dan tidak dapat digunakan oleh penduduk kampung,” kata Edward Solibi, 28, salah seorang penduduk kampung.

” Lebih menyukarkan penduduk kampung apabila berlaku kecemasan seperti berlaku kematian atau ada penduduk yang sakit dan dalam masa yang sama hujan turun menyebabkan jalan tersebut tidak dapat dilalui,” katanya.

“Walaupun kawasan Zon Masapang dan Sinsibon mempunyai penduduk sekitar 15 buah rumah, jumlah itu pasti akan bertambah apabila jalan perhubungan ke kawasan itu dinaik taraf. 

“Aktiviti pertanian yang menjadi sumber rezeki utama penduduk kampung dan hasil kebun pula akan dijual ke pekan yang berhampiran,” jelasnya.

Menurutnya, jalan itu sudah pasti akan menjadi laluan utama termasuk laluan ibubapa menghantar anak-anak ke sekolah. 

“Jadi saya sebagai penduduk kampung sangat berharap masalah yang kami hadapi ini mendapat perhatian daripada pihak berkenaan,” tambahnya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

784