Anggota Polis Dari Sabah Maut Dirempuh Pemandu Mabuk

Mendiang Bradford (gambar kanan).- Gambar Ihsan Pembaca

KLUANG: Seorang anggota polis maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh kereta yang dipandu lelaki dipercayai mabuk di Kilometer 6 Jalan Kluang-Teck Wah Hing, di sini, semalam.

Dalam kejadian 10.25 malam itu, Lans Koperal Bradford Bernard, 28, yang dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, mangsa baru sahaja selesai tugas kawalan keselamatan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Simpang Renggam sebelum pulang ke IPD Kluang.

“Hasil siasatan mendapati, pemandu kereta Mercedes-Benz hilang kawalan sebelum bertembung dengan motosikal ditunggangi mangsa menyebabkan anggota polis itu parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Susulan itu, polis menahan pemandu kereta berkenaan yang berusia 58 tahun dan hasil saringan ujian nafas mendapati lelaki itu positif alkohol melebihi had ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Suspek ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – HMetroo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *