14 Ditahan Leka Main Mahjong

Polis mengangkut peralatan bermain mahjong. Foto pembaca

PENAMPANG: Sekumpulan 14 individu sedang asyik berjudi di sebuah premis di Bundusan di sini ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, serbuan dilakukan selepas polis menerima maklumat awam mengenai aktiviti berkenaan.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang turut merampas beberapa peralatan perjudian disyaki mahjong.

“Seorang suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri dengan naik ke tingkat atas namun berjaya ditahan.

“Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya, hari ini.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1880