Paus Pembunuh Muncul Di Perairan Sabah, Kenapa Spesies Orca Ini Memilih Semporna?

Paus pembunuh ‘bermain mencari makan atau mungkin berhijrah dari mana-mana lautan di seluruh dunia. – Foto ihsan Scuba Junkie

Tidak ramai tahu perairan negara ini, khususnya di Semporna, di pantai timur Sabah menjadi lokasi beberapa spesies paus atau mamalia marin untuk ‘bermain’.

Spesies itu bukan sesat atau tersalah navigasi, sebaliknya singgah ke perairan itu untuk ‘bermain’, mencari makanan atau mungkin berhijrah dari mana-mana lautan di seluruh dunia.

Kebanyakannya dikesan di perairan berhampiran Pulau Sipadan, di Laut Sulawesi. Terbaharu kehadiran paus pembunuh atau orca dilihat pada Januari lalu.

Kelibat paus pembunuh atau Orca dilihat di perairan berhampiran Pulau Sipadan dan Semporna. – Foto ihsan Arapat Abdurahim

Paus Orca sering dilihat di perairan Pulau Sipadan, menarik perhatian pengunjung terutama penyelam dan sesiapa saja kebetulan terserempak ketika dalam perjalanan ke pulau itu.

Kehadiran spesies paus itu juga menyediakan data bernilai untuk kajian mamalia marin yang sedang dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Jadi lokasi tumpuan

Penyelam skuba di Scuba Junkie, Semporna, Arapat Abdurahim, berkata kehadiran paus itu menggambarkan kepentingannya sebagai tempat tumpuan mamalia marin berkenaan.

Katanya, kehadiran terkini paus orca di perairan Sipadan dikesan bulan lalu membabitkan dua paus dewasa dan dua anak paus berenang ke arah utara pulau itu.

“Ternampak paus bukan sesuatu luar biasa di perairan Semporna. Kawasan ini dikenal pasti sebahagian lokasi tarikan di bahagian barat Laut Sulawesi oleh Pasukan Khas Kawasan Mamalia Marin Dilindungi, Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam (IUCN).

“Kehadiran paus banyak dilihat di kawasan ini seperti dilaporkan di media, forum pelancongan dan alam semula jadi,” katanya.

Kehadiran paus menggambarkan kepentingan Semporna sebagai tempat tumpuan pelancongan Sabah. – Foto ihsan Scuba Junkie

Lihat paus ‘bermain’

Sehingga kini, sebanyak 21 spesies paus itu direkodkan di perairan daerah ini, kebanyakannya spesies laut dalam.

Tidak banyak diketahui atau difahami mengenai spesies mamalia marin setakat ini.

“Ini bermakna kehadiran mamalia marin di perairan Semporna adalah peluang unik pengkaji untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spesies yang menjadi teka-teki, walaupun hanya untuk mengesahkan kehadirannya di sini.

“Bukan perkara luar biasa pengunjung melihat mamalia marin dalam perjalanan ke Pulau Sipadan atau di bahagian selatan Kapalai.

“Ikan lumba-lumba antara paling kerap kelihatan tetapi kadang kala kita juga boleh jumpa spesies yang jarang kelihatan seperti orca, paus kepala melon dan paus sperma.

“Ia pengalaman menakjubkan pengunjung yang ternampak kelibat paus itu di permukaan laut,” katanya.

Saintis buat kajian

Kehadiran spesies mamalia marin itu juga boleh menyumbang kepada badan penyelidikan melakukan kajian mengenai spesies jarang kelihatan.

Pada 2017 merekodkan kemunculan paus sperma kerdil, disahkan yang pertama dilihat di perairan Malaysia.

Beliau berkata, kekerapan laporan mengenai paus orca dan paus sperma dilihat di perairan Semporna, selain pemerhatian terhadap spesies mamalia marin bermigrasi melalui Laut Sulu dan Sulawesi menjadikan daerah ini lokasi terdekat saintis melakukan kajian.

Scuba Junkie SEAS adalah antara badan konservasi marin berpangkalan di Scuba Junkie’s Mabul Beach Resort, Semporna bekerjasama dengan penyelidik mengumpul maklumat berkaitan mamalia marin muncul di kawasan ini dan membuat pengenalan lebih tepat.

Badan itu menerima dana daripada Persatuan Mamalia Marin (SMM) bagi menjalankan kajian berkaitan paus, ikan lumba-lumba dan spesies porpoise di kawasan ini dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) lain.

Rakam bunyi paus dalam lautan

Jawatankuasa Anugerah SMM, Dr Lindsay Porter, berkata kerjasama dengan Scuba Junkie SEAS membolehkan latihan diberikan kepada operator menyelam tempatan.

“Hasilnya kita menerima imej baik dan penerangan jelas apabila ada terjumpa paus itu. Ia dapat membantu dalam mendokumentasi spesies lain dengan lebih jelas.

“Sungguh mengujakan melihat spesies ini di kawasan Sipadan dan mempunyai komuniti penyelam bersemangat membantu kajian kita,” katanya.

Operator menyelam banyak membantu kajian dijalankan seperti membawa peralatan ke dasar laut bagi merakam bunyi mamalia marin untuk mengenal pasti spesies haiwan terbabit.

Kenal pasti hadir bermusim atau kitaran hidup

Dr Porter berkata, kebanyakan spesies itu ditemui di Semporna belum diketahui sama ada kehadiran itu bermusim atau memenuhi kitaran hidup, contohnya perlindungan untuk ibu dan anak paus.

“Kawasan ini sebagai sebahagian laluan ketika bermigrasi atau dalam perjalanan merentas lautan besar,” katanya.

David McCann

Pengurus Konservasi Scuba Junkie SEAS, David McCann, berkata paus Orca sudah banyak kali kelihatan di perairan Sipadan, malah penyelam dari Scuba Junkie pernah ternampak paus jenis itu memakan ikan matahari pada tahun lalu.

Penyelam dan sesiapa saja ternampak kelibat paus itu tidak mengganggunya dan memastikan jarak selamat ketika mengambil gambar atau merakam aksi mamalia marin itu.

INFO:

Penemuan paus di perairan Semporna

• Januari 2017 – Sekumpulan penyelam terserempak paus Orca, di Pulau Sipadan, didakwa laporan pertama ditemui di perairan itu.

• Januari 2021 – Laporan terbaru penemuan paus Orca di perairan Pulau Sipadan oleh sekumpulan penyelam

• Paus pembunuh atau Orca dilaporkan ditemui hampir setiap tahun di perairan Semporna, khususnya berhampiran Pulau Sipadan

• Komuniti nelayan di Semporna dikatakan sudah biasa terserempak ikan paus khususnya berhampiran Pulau Sipadan dan Kapalai

• Paus Orca ditemui, pada akhir dan awal tahun, kebanyakannya berenang secara berkumpulan

• Penyelam dan komuniti marin di Semporna pernah terserempak paus yu, paus sperma dan ikan lumba-lumba

• Sebanyak 21 spesies mamalia marin direkodkan mendarat di perairan Semporna. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *