COVID-19: Sabah Catat Kes Paling Rendah Sejak Oktober Lalu

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Kes positif Covid-19 di Sabah hari ini terus mengalami penurunan dan mencatatkan jumlah kes paling rendah setakat ini dengan merekodkan 101 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah kes itu paling rendah direkodkan sejak 1 Oktober lalu.

“Selepas tarikh itu, penularan kes Covid-19 di Sabah terus merekodkan peningkatan melepasi jumlah 100 kes sehari.

“Kemuncak jangkitan pandemik ini ialah pada 6 November lalu apabila 1,199 kes dicatatkan,” katanya dalam kenyataan media perkembangan Covid-19 di Sabah, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengharapkan bilangan kes di negeri itu terus mencatatkan penurunan selepas ini dan diharapkan rakyat Sabah dapat mematuhi arahan semasa dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Tidak mustahil kita akan mencapai sifar Covid-19 sekiranya rakyat dapat mengekalkan amalan norma baharu dalam kehidupan seharian sebagaimana yang diamalkan sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi turut menjelaskan, berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), 101 kes yang dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 51,216 kes dengan satu kematian direkodkan di Kalabakan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *