PKR Sabah Hargai Peruntukan RM3.1 Juta Kepada 31 ADUN Pembangkang

Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor atas peruntukan khas RM100,000 kepada setiap wakil rakyat pembangkang di negeri ini bagi mengatasi pandemik COVID-19.

Pengerusinya, Datuk Christina Liew dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata beliau turut menghargai Hajiji kerana bersikap terbuka dengan barisan pembangkang di Sabah.

“Saya berterima kasih kepada Ketua Menteri Sabah atas pertimbangan dan keterbukaan minda beliau.

Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor

“Walaupun RM100,000 mungkin tidak mencukupi untuk kami menjalankan tugas di kawasan jagaan kami, saya percaya Ketua Menteri akan mempertimbangkan semula untuk menambah jumlahnya sekiranya kami kehabisan dana untuk berkhidmat di kawasan kami,” katanya.

Christina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api itu juga berkata Hajiji harus memberikan peruntukan pembangunan yang sama kepada barisan pembangkang seperti dilakukan pemimpin kepada pembangkang di Perak dan Johor.

“Langkah ini akan membolehkan wakil rakyat membantu kerajaan dalam pembangunan sosioekonomi di setiap kawasan.

“Saya percaya Ketua Menteri akan mempertimbangkan cadangan ini,” katanya.

Semalam, media melaporkan Hajiji mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM 3.1 juta untuk diberikan kepada 31 ADUN pembangkang di Sabah. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1165