KWSP Dapat CEO Baharu, Amir Hamzah Ganti Tunku Alizakri

Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan (Kewangan dan Ekonomi) daripada Universiti Syracuse, New York.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melantik Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP berkuatkuasa 1 Mac 2021.

Menurut KWSP dalam satu kenyataan hari ini, pelantikan itu diumumkan selepas menerima kelulusan Kementerian Kewangan.

Amir yang sebelum ini merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), akan menggantikan Tunku Alizakri Alias yang telah menerajui KWSP semenjak 20 Ogos 2018.

Amir yang mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam sektor korporat pernah menyertai Kumpulan Shell dan menerajui beberapa organisasi korporat antaranya MISC Berhad, PETRONAS Dagangan Berhad, PETRONAS Lubricants International, Icon Offshore Berhad dan Themed Attractions Resorts and Hotels Sdn Bhd.

Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan (Kewangan dan Ekonomi) daripada Universiti Syracuse, New York.

“Tunku Alizakri akan meneruskan sumbangannya terhadap perkhidmatan awam melalui kapasiti yang berbeza.

“Dengan berat hati, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan ucapan selamat maju jaya kepada Tunku Alizakri atas dedikasi dan sumbangan beliau selama 7 tahun, bermula sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi) dan kemudian sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP.

“Wawasan serta komitmen Tunku Alizakri kepada semua pihak berkepentingan terutama ahli-ahli KWSP boleh dilihat melalui hala tuju KWSP dalam mempertingkatkan kecekapan operasinya melalui pecutan digital, mengguna pakai dasar dan tadbir urus alam sekitar (ESG) dan kelestarian (sustainability) sebagai metrik utama, serta memperkasakan keselamatan sosial dan kesejahteraan bagi masyarakat Malaysia,” kata Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *