Scott Ollerenshaw Dilantik Pengarah Teknikal Sabah FC

Scott Ollerenshaw (kiri) dilantik pengarah teknikal Sabah FC – Gambar Foto Sabah FC

KOTA KINABALU: Bekas penyerang import sensasi Sabah, Scott Ollerenshaw dilantik menjadi pengarah teknikal Sabah Football Club (FC) yang baharu.

Perkara itu diumumkan Sabah FC dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi mereka semalam

‘Perlantikan Scott Ollerenshaw sebagai pengarah teknikal buat Sabah FC adalah antara inisiatif yang dilaksana untuk menzahirkan kesungguhan pasukan dalam meningkatkan mutu dan kualiti bola sepak di Sabah,” menurut kenyataan itu.

Dalam hantaran itu juga, Sabah FC itu turut menjelaskan perlantikan legenda bola sepak Sabah yang berasal dari Australia itu adalah sebagai medium pengantara buat pemain import kelab itu.

”Dalam masa sama, Scott juga turut bertindak sebagai pencari pemain yang berkualiti untuk diserapkan ke dalam pasukan yang gah dengan gelaran Sang Badak ini.

”Peranan sebagai pengarah teknikal ini juga secara langsung menjadikan Scott sebagai ketua dalam program pembangunan belia bagi mencungkil bakat baru dan membentuk barisan pelapis Sabah FC untuk masa akan datang,”.

Ollerenshaw adalah antara penyerang import terbaik pernah dimiliki Sabah apabila beliau berjaya membantu pasukan itu menjulang Piala FA pada 1995 dan menjuarai Liga Perdana (kini Liga Super) pada tahun berikutnya.

Ketajaman beliau sebagai penyerang juga terserlah apabila muncul sebagai penjaring terbanyak saingan Liga Perdana pada dua musim berkenaan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1593