COVID-19: Sabah Catat 180 Kes Positif Baharu & Satu Kluster Di Ladang Kinabatangan

KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 di Sabah meningkat kepada 180 kes dengan dua kematian dan satu kluster baharu, hari ini.

Kluster baharu iaitu kluster Hulu Jerocco, Kinabatangan mencatatkan sembilan kes positif dengan kumulatif 29 kes. Kes indeks bagi kluster ini membabitkan pekerja ladang yang dikesan positif melalui saringan Perkeso.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, dua kematian hari ini masing-masing di Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Beliau berkata, daripada 180 kes baharu hari ini, Tawau mencatatkan kes tertinggi dengan 24 kes, diikuti dengan Keningau (21), Kota Kinabalu (16), Lahad Datu (15), Tuaran (15), Putatan (13), Papar (12), Kinabatangan (11), Kunak (11), Penampang (9), Sandakan (9), Telupid (9) dan tiga kes di Kalabakan, Tenom dan Semporna.

Manakala, dua kes di Beluran dan Kudat, serta satu kes masing-masing Kota Belud dan Tongod.

Menurutnya, daripada 180 kes positif itu, sebanyak 126 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 18 kes, saringan kluster baharu dan sedia ada 12 kes, saringan Perkeso sembilan kes dan 15 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sebanyak 317 kes pulih dilaporkan hari ini dengan bilangan kumulatif sebanyak 48,360 kes. Kes kematian di Sabah bertambah menjadi 344 kes.

Setakat ini, sebanyak 50,723 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 1,420 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 557 orang di hospital dan 861 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) serta dua kes di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara.

Terdapat 70 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 22 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah kekal 6,111 katil dan peratus penggunaan adalah 23.24 peratus.

Bagi sekatan jalan raya (SJR), sebanyak 32,730 kenderaan diperiksa dalam tempoh 24 jam dan 58 kenderaan diarah berpatah balik. Manakala, 63 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *