Sengaja Cari Pasal, 11 Remaja Ditahan Di Jalan Pan Borneo Merintaman

Lokasi erlumbaan haram yang diserbu polis di Jalan Pan Borneo Merintanam, Sipitang. – Foto Ihsan PDRM

SIPITANG: Seramai 11 remaja berusia lingkungan 18 hingga 20 tahun ditahan selepas didapati melakukan aktiviti berkumpul dan lumba haram, di Jalan Pan Borneo Merintaman, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 4.30 petang itu, seorang daripada kumpulan remaja berkenaan turut ditahan selepas didapati menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan melakukan aksi ala ‘superman’.

Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, pelaksanaan operasi Op Samseng Jalanan dan Op Motosikal itu dijalankan bagi memantau aktiviti kumpulan remaja berkenaan.

Antara motosikal yang ditahan – Foto Ihsan PDRM

Katanya, sebaik tiba dilokasi, kumpulan remaja berkenaan didapati berkumpul dan melakukan aktiviti lumba haram termasuk menunggang motosikal dengan aksi melulu.

“Semua 11 remaja terbabit sedang berkumpul tanpa mematuhi syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa alasan munasabah.

“Semua mereka dibawa balik ke Balai Polis Sipitang dan dikenakan kompaun atas kesalahan melanggar Akta 342 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LLDKJ) (No.8) 2020,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Champin berkata, kes turut disiasat berkaitan kesalahan trafik mengikut Kaedah-Kaedah Lalulintas dan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, polis turut merampas semua motosikal untuk siasatan selanjutnya manakala seorang lagi remaja yang melakukan aksi bahaya turut disiasat mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987.

“Polis ingin menasihatkan masyarakat terutamanya golongan remaja di daerah ini supaya tidak keluar berkumpul dan terbabit dalam aktiviti lumba haram.

“Saya sebagai Ketua Polis di daerah ini tidak akan bertolak ansur dan akan mengambil tindakan tegas termasuk menahan mereka yang melakukan kesalahan undang-undang,” katanya.

“Saya tidak mahu daerah Sipitang dicemari dengan aktiviti lumba haram, dadah dan sebagainya,” tegasnya. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *