Hajiji Lulus RM9 Juta Untuk Atasi Banjir Di Kinarut

Hajiji (kiri) meninjau keadaan Sungai Kinarut yang sering melimpah setiap kali hujan sehingga mengakibatkan banjir di sekitar Kinarut. – Foto JKM

PAPAR: Ketua Menteri Hajiji Noor mengumumkan peruntukan RM9 juta untuk mengatasi masalah banjir yang sekian lama berlaku pada setiap kali musim hujan di Kinarut.

Projek tebatan banjir di Sungai Kinarut itu bakal bermula pada April bawah kelolaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah.

“Projek ini dijangka siap dalam tempoh dua tahun dan kita harap pada masa akan datang, penduduk di Kinarut tidak lagi menghadapi masalah ini (banjir) setiap kali musim hujan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kawasan projek yang bakal dilaksanakan itu.

Hajiji (kiri) meninjau keadaan Sungai Kinarut yang sering melimpah setiap kali hujan sehingga mengakibatkan banjir di sekitar Kinarut. – Foto JKM

Sementara itu, Pengarah JPS Sabah, Jeffrey Ng, berkata keadaan tebing Sungai Kinarut yang terlalu sempit antara punca sungai terbabit selalu melimpah pada setiap kali hujan lebat.

Limpahan menyebabkan kawasan berhampiran dinaiki air sehingga menjejaskan rumah kedai, stesyen kereta api, sekolah, rumah ibadat, dan perumahan sekitar Kinarut.

“Selain itu, kawasan tebing yang tidak diukur dengan betul selain serpihan tebing sungai turut menghalang aliran air dan oleh sebab itu Kinarut kerap dilanda banjir malah berlaku kerosakan yang lebih besar di kawasan berkenaan sejak 10 tahun kebelakangan ini.

“Sehubungan itu, pelaksanaan projek tebatan banjir itu nanti adalah dengan memperluaskan serta mendalamkan Sungai Kinarut di sepanjang 3 kilometer,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost