3 Lelaki Filipina Ditahan Miliki Kad Pengenalan Palsu

Tiga Filipina yang ditahan polis kerana didakwa memiliki kad pengenalan palsu.

MANJUNG: Tiga lelaki Filipina direman tiga hari bermula hari ini kerana dipercayai memiliki kad pengenalan palsu.

Ketiga-tiga lelaki berusia antara 24 hingga 31 tahun yang juga Orang Tausug atau Suluk itu ditahan ketika menaiki dua kenderaan dan melalui sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kayan, Sitiawan di sini, pada 12 tengah hari semalam.

Sumber Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak berkata, mereka yang menunjukkan surat kebenaran merentas negeri apabila diminta, mendakwa bekerja dengan syarikat pembinaan di Klang, Selangor.

“Mereka dalam perjalanan ke Pantai Remis dan mendakwa mempunyai urusan kerja di sebuah tapak projek pembinaan di situ,” katanya, hari ini.

Sumber itu berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki berkenaan berasal dari Zamboanga, Filipina dan memasuki negara ini melalui Sabah.

“Dalam soal siasat, mereka mendakwa mendapatkan kad pengenalan palsu daripada sindiket dengan hanya membayar RM100 setiap seorang, sejak setahun hingga dua tahun lalu.

“Mereka juga mengaku bukan warga tempatan dan masuk ke negara ini untuk mendapatkan pekerjaan bagi menampung keluarga di Filipina.

“Mereka daripada kampung sama dan ada yang mendakwa memasuki negara ini sejak dari kecil dan ada yang sudah kira-kira 10 tahun berada di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek tiba di Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini dengan menaiki kenderaan JPN untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Majistret Nurul Izalina Rajaai membenarkan reman selama tiga hari sehingga Rabu bagi membantu siasatan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan) 2007. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *