Guru Keningau Bentang Inovasi Pengajaran Di Persidangan Maya Kemboja

Cikgu Jinuin Jainis dan Cikgu Hidayu Bedesly

KENINGAU : Dua orang guru pendidikan awal kanak-kanak di Kolej Vokasional Keningau, Cikgu Hidayu Bedesly dan Cikgu Jinuin Jainis, telah berjaya membentang inovasi pengajaran mereka di persidangan antarabangsa CamTESOL yang diadakan secara maya oleh sebuah persatuan berpusat di Kemboja pada 7 Februari 2021.

Persidangan yang berlangsung dari 5 hingga 7 Februari tersebut dilaksanakan dalam talian pada kali pertamanya dan ianya menampilkan lebih kurang 500 pembentangan dari golongan pendidik di Asia Tenggara.

Cikgu Hidayu dan Cikgu Jinuin yang lebih dikenali dengan nama panggilan mereka, Yuyu dan Upik, merupakan graduan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Dua rakan karib ini telah melaksanakan eksperimen menilai keberkesanan penggunan blok geometri yang mereka namakan “IQ Shape” dalam melatih kanak-kanak untuk mengenali huruf, menyebutnya dengan betul serta mampu menulisnya dengan tepat.

Memandangkan kedua-dua guru ini merupakan tenaga pengajar bagi pelajar-pelajar jurusan pendidikan awal kanak-kanak yang akan bertugas di prasekolah dan tadika, mereka berpendapat penting bagi mereka untuk memperkembangkan kemahiran mereka dalam bidang inovasi dan kajian agar mampu mendidik para pelajar program tersebut untuk menjadi lebih cekap dalam menyelesaikan masalah.

Malah, ramai pelajar dari program tersebut yang telah berjaya membentang projek mereka di persidangan dan pertandingan inovasi di dalam dan luar negara seperti Brunei, Indonesia, Singapura, Belanda dan Britain secara bersemuka dan dalam talian.

Cikgu Hidayu Bedesly merupakan seorang guru yang kerap menggunakan YouTube untuk memuat naik video-video pengajaran yang dihasilnya sendiri. Saluran YouTube miliknya bolehlah diakses melalui pautan ini: https://youtube.com/c/BedeslyYu

Manakala Cikgu Jinuin Jainis bertekad untuk mengubah persepsi orang awam yang selalu menganggap hanya guru wanita sahaja yang wajar bertugas di prasekolah atau tadika.

Sebagai guru lelaki dalam bidang yang didominasi oleh kaum hawa, guru ini berhasrat untuk membuktikan bahawa guru lelaki setanding dengan guru perempuan dalam kemampuan mereka mendidik kanak-kanak.

Pengarah Kolej tersebut, Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin, memuji komitmen kedua-dua guru ini dalam usaha mereka meningkatkan amalan pengajaran dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Dia menyatakan bahawa Kolej Vokasional Keningau merupakan salah satu institusi pendidikan yang juga mengendalikan prasekolah.

Prasekolah Gemilang yang bertempat di kolej tersebut telah beroperasi pada masa yang agak lama dan ianya telah memberi peluang kepada para pelajar jurusan pendidikan awal kanak-kanak untuk menimba pengalaman praktikal dalam bidang tersebut.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *