COVID-19: 6 Daerah Di Sabah Kini Zon Kuning

KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 di Sabah menurun kepada 160 kes dengan tiga kematian dilaporkan, hari ini.

Bilangan daerah berada dalam zon kuning, iaitu kawasan mencatatkan 20 kes dan ke bawah meningkat kepada enam daerah. Semporna daerah terbaru berada dalam zon kuning bagi menyertai Nabawan, Tambunan, Pitas, Telupid dan Tongod.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, dua kematian hari ini direkodkan di Beaufort dan satu kematian lagi di Tuaran.

Beliau berkata, daripada 160 kes baharu hari ini, Lahad Datu mencatatkan kes tertinggi dengan 32 kes, diikuti dengan Sandakan (30), Kota Kinabalu (20), Beluran (12), Penampang (9), Tawau (8), Putatan (8), Kinabatangan (7), Ranau (7), Keningau (5), Tenom (4), Tuaran (3), Kunak (3) dan dua kes di Papar, Sipitang, Nabawan dan Semporna.

Manakala, satu kes masing-masing di Kalabakan, Kota Belud, Beaufort dan Kudat.

Menurutnya, daripada 160 kes positif itu, sebanyak 95 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 23 kes, saringan kluster sedia ada lima kes, saringan Perkeso lima kes dan 32 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sebanyak 252 kes pulih dilaporkan hari ini dengan bilangan kumulatif sebanyak 47,779 kes. Kes kematian di Sabah bertambah menjadi 342 kes.

Setakat ini, sebanyak 50,374 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 1,680 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 670 orang di hospital dan 1,008 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) serta dua kes di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara.

Terdapat 76 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 23 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah kekal 6,111 katil dan peratus penggunaan adalah 27.49 peratus.

Bagi sekatan jalan raya (SJR), sebanyak 42,918 kenderaan diperiksa dalam tempoh 24 jam dan 229 kenderaan diarah berpatah balik. Manakala, tiga tangkapan dan 45 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *