1,680 Pesakit Covid-19 Masih Dirawat Di Sabah

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Jumlah kes Covid-19 aktif di Sabah kini sebanyak 1,680 dengan 1,008 daripadanya dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun berkata, daripada jumlah itu juga, seramai 670 menerima rawatan di hospital manakala dua lagi dirawat di Pusat Tahanan Sementara (PTS).

“Jumlah kes yang masih menerima rawatan menunjukkan penurunan selepas 252 lagi pesakit telah sembuh dan dibenarkan pulang berbanding 160 kes baharu yang dicatatkan hari ini.

“Daripada jumlah pesakit yang masih menerima rawatan itu juga, seramai 76 orang dirawat di ICU (Unit Rawatan Rapi) dengan 23 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan atau ‘ventilated’,” katanya pada taklimat harian perkembangan Covid-19 di Sabah, hari ini.

Masidi berkata, daripada 160 kes baharu yang dicatatkan hari ini, sebanyak 95 kes atay 59.4% adalah hasil saringan kontak rapat.

Selain itu katanya, sebanyak 23 kes atau 14.4% dikesan menerusi saringan bergejala, masing-masing lima kes atau 3.1% daripada saringan kluster sedia ada dan kluster Perkeso serta 32 kes lagi atau 20% daripada lain-lain kategori.

“Dalam perkembangan sama, jumlah kapasiti katil di hospital Covid-19 adalah sebanyak 1,078 unit, di PKRC awam berjumlah 4,033 unit dan

jumlah katil di PTS atau Penjara pula 1,000 unit.

“Ini menjadikan jumlah kapasiti katil di Sabah sebanyak 6,111 unit manakala peratusan penggunaan katil pada hari ini adalah 27.49%,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *