Wang i-Sinar Bantu Pelanggan Pajak Gadai Tebus Barang

Selepas mendapat wang hasil pengeluaran i-Sinar, ramai yang menebus barang gadaian mereka di kedai pajak gadai. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Lebih ramai orang kembali ke kedai pajak gadai untuk menebus barang selepas mempunyai wang, hasil pengeluaran daripada skim i-Sinar di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Presiden Persatuan Tuan Punya Pajak Gadai Malaysia, Tan Ho Keng berkata, penebusan barang gadaian meningkat sehingga 30% selepas pencarum menerima wang yang dikeluarkan di bawah skim itu.

“Bilangan pelanggan yang datang untuk pajak barang makin merosot sebab ramai orang sekarang masih ada duit. Mereka sudah dapat mengeluarkan simpanan KWSP, jadi ramai yang datang ialah untuk tebus barang.

“Jumlah pelanggan yang datang tebus barang meningkat 20% hingga 30%, selepas KWSP boleh buat pengeluaran,” katanya.

Tan bagaimanapun berkata, pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 menyebabkan pendapatan kedai pajak gadai kekal merosot sehingga 60% berbanding sebelum itu, akibat kekurangan pelanggan baru memajak barang.

“Malah, ada premis yang tutup, terutamanya di pekan kecil. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mungkin ada rekod berapa banyak yang ditutup.”

Katanya, kekurangan pelanggan juga disebabkan orang ramai sukar bergerak semasa PKP 2.0, khasnya larangan untuk merentas daerah, dengan sekatan jalan adakan polis yang mengelakkan pelanggan berpotensi berbuat demikian.

“Pelanggan susah nak bergerak sebab terlalu banyak sekatan, jadi kami harap kalau boleh, pihak berkuasa memudahkan pergerakan mereka datang ke premis, jika ada alasan kukuh,” katanya sambil menambah premis pajak gadai dibenarkan beroperasi dengan pematuhan SOP ketat.

Beliau juga berharap Putrajaya akan membantu industri itu dengan menangguhkan sementara pengeluaran lesen pajak gadai yang baru sehingga situasi mereka pulih.

KWSP mengumumkan i-Sinar yang merupakan lanjutan skim pengeluaran i-Lestari, membolehkan pencarum yang terjejas dengan pandemik itu untuk membuat pengeluaran sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 mereka.

Permohonan untuk i-Sinar dibuka sejak Disember lalu, dengan jumlah wang dimasukkan ke akaun bank pencarum mulai bulan lalu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *