Anggota PDRM Antara Tiga Maut Dalam Kemalangan Di Tuaran

KOTA KINABALU, 6 Feb : Tiga lelaki maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan termasuk sebuah lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Simpang Marabahai Spurs, Jalan Berungis-Tenghilan, Tuaran pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tuaran DSP Mohd Hamizi Halim berkata mangsa yang maut dalam kemalangan pukul 8.01 pagi itu ialah penunggang dan pembonceng motosikal dikenali sebagai Jul Amri Samsudin, 25, dan Il Yasa Samsudin, 35.

Seorang anggota polis yang bertugas di Balai Polis Kota Belud Koperal Shamsully Adly, 45, yang memandu kereta Perodua Kancil ketika dalam perjalanan pulang ke kediamannya di perumahan Bolong, Tuaran turut maut di tempat kejadian.

Mohd Hamizi berkata ketika kejadian, lori ATM berkenaan sedang dalam perjalanan dari Tamparuli menuju ke Tengilan, sebelum sebuah motosikal tiba-tiba keluar dari simpang Jalan Marabahai Spurs menyebabkan pemandu lori ATM itu tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan motosikal terbabit.

“Akibat pertembungan itu, kedua-dua mangsa dan motosikal terseret sehingga ke laluan bertentangan. Mangsa maut di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pada masa sama, lori ATM itu turut bertembung dengan Perodua Kancil dipandu anggota polis berkenaan yang datang dari arah Tengilan.

Mohd Hamizi berkata semua mayat dibawa ke Hospital Tuaran dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *