Lima Jari Penghantar Makanan Wanita Terpaksa Dipotong

Hapsah terbabit dalam kemalangan di Jalan Lintas Labuk dekat Batu Tujuh di sini, semalam. Foto Ihsan Pembaca

SANDAKAN: Penghantar makanan wanita yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Lintas Labuk dekat Batu Tujuh di sini, semalam hilang lima jari kaki kirinya.

Hapsah Pamma, 40, terpaksa melalui pembedahan memotong lima jari kakinya selepas dirempuh lori dari belakang.

Suaminya, Mohd Fauzi Abdullah@Willie Anselmus, 47, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di rumah dan sedang tidur selepas semalaman bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Hapsah Pamma terpaksa menerima hakikat lima jari kaki kirinya terpaksa dipotong ekoran kemalangan dirempuh sebuah lori pada Rabu. – Gambar PDRM

Menurutnya, dia kemudiannya dimaklumkan isterinya terbabit kemalangan dan dia segera bergegas ke hospital.

“Sebaik tiba, isteri kelihatan tenang dan dia tidak langsung menangis kesakitan. Begitu juga keadaannya di lokasi kejadian.

“Saya dimaklumkan dia mampu bertenang dan tidak beremosi keterlaluan. Pada semalam saya dimaklumkan jari kaki isteri saya mesti dipotong semuanya kerana sudah hancur dan putus,” katanya ketika temui Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, pada semalam isterinya menjalani pembedahan pemotongan kelima-lima jari kaki kiri dan kini sudah stabil.

“Saya tidak boleh buat apa-apa dan kami terima kejadian ini dengan reda.

“Kami berdua sebenarnya terpaksa bekerja kerana pendapatan saya sebagai pengawal keselamatan tidak dapat menampung kos kehidupan apatah lagi ketika pandemik Covid-19 ini.

“Pendapatan saya hanya RM1,100 sebulan dan kami ada seorang anak yang masih bersekolah di tahun dua,” katanya.

Mohd Fauzi yang tinggal di Kampung Gum-Gum, Batu 16 berkata, isterinya mengambil keputusan menjadi penghantar makanan sejak lapan bulan lalu.

“Saya tidak tahu apa perancangan kami selepas ini tetapi pastinya dia sukar untuk bekerja lagi selepas ini.

“Motosikal isteri juga mengalami kerosakan teruk. Kami hanya ada motosikal. Dia sebuah dan saya ada sebuah.

“Apapun, saya berterima kasih kepada semua pihak mendoakan kami,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *