Kebenaran Khas Diperlukan Untuk Masuk Ke Taman-Taman Sabah

Hazani Ghazali

KOTA KINABALU: Kebenaran khas diperlukan untuk memasuki mana-mana kawasan kendalian Taman-Taman Sabah khususnya pulau yang kini ditutup kepada orang awam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam satu pautan kenyataan maklum balas di laman media rasmi Taman-Taman Sabah yang dimuat naik menjelaskan perkara terbabit bagi menjawab kenyataan pendakwah bebas, Ebit Lew yang dikatakan dilarang meneruskan misi bantuan di kawasan terbabit.

“Susulan daripada aduan dan kenyataan yang dimuat naik di media sosial Ebit Lew semalam, pihak Taman-Taman Sabah mendapati bahawa kawasan pulau di Semporna yang dimaksudkan oleh beliau adalah kawasan Taman Marin Tun Sakaran, Semporna.

“Sebagaimana yang dimaklumkan di media sosial rasmi Taman-Taman Sabah pada 12 Januari, seluruh kawasan Taman-Taman Sabah ditutup sementara kepada orang awam bermula 13 Januari selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Rombongan Ebit Lew merupakan rombongan orang awam yang tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) PKP dan pada masa yang sama pihak Taman-Taman Sabah tidak menerima makluman awal untuk kebenaran khas memasuki kawasan Taman Marin Tun Sakaran.

“Pihak Taman-Taman Sabah membenarkan rombongan Ebit Lew memasuki kawasan Taman Marin Tun Sakaran hanya selepas mendapat makluman daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita sangat menyokong usaha murni bantuan prihatin yang disalurkan kepada komuniti di dalam semua Taman di seluruh Sabah,” kata kenyataan terbabit.

Selain itu, dalam kenyataan terbabit, pihak Taman-Taman Sabah turut menjelaskan dakwaan Ebit Lew yang tidak dibenarkan membina sekolah di kawasan pulau berkenaan.

“Selain daripada itu, pembinaan struktur bangunan di dalam kawasan Taman Marin Tun Sakaran juga tertakluk kepada prosedur dan garis panduan yang ditetapkan.

“Perkara ini berkaitan dengan kepentingan komuniti penuntut hak waris di pulau-pulau ini seperti yang terkandung dalam Surat Pewartaan Taman Marin Tun Sakaran pada 2004,” jelasnya.

Semalam, media melaporkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun menafikan kerajaan negeri mengeluarkan arahan melarang Ebit Lew meneruskan kerja amal di pantai timur Sabah.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, program pendakwah terbabit yang dilaksanakan di kawasan sekitar pulau di Semporna terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan.

Ia berikutan lokasi terbabit dikenakan perintah kawalan berkurung dan keselamatan orang ramai menjadi keutamaan pihak berkuasa. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost