PKP Dilanjutkan Berita Buruk Bagi Tukang Gunting & Pemilik Restoran

Kerajaan perlu membantu pengusaha restoran terutama mengenai masalah sewa yang merupakan 30% kos operasi.

KUALA LUMPUR: Tukang gunting rambut dan pemilik restoran berkata mereka dilanda kesusahan apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan hingga 18 Feb manakala persatuan perniagaan dan pengguna mengemukakan tuntutan.

Naib Presiden Persatuan Pendandan Rambut India Selangor dan Wilayah Persekutuan Akilan Anandakrishnan mahu tahu mengapa mereka tidak dibenarkan beroperasi ketika PKP.

“Padahal kami ikut SOP, pakai sarung tangan baharu untuk setiap pelanggan dan pakai pelitup muka,” katanya.

Katanya, banyak perniagaan berbelanja besar membeli pelitup muka, pelindung muka dan sarung tangan tetapi tidak dapat mengggunakannya walaupun “kedai gunting lebih selamat daripada sesetengah tempat kerja dan pengangkutan awam”.

Akilan Anandakrishnan.

Orang ramai mahu rambut mereka digunting dan ada yang memanggil tukang gunting ke rumah mereka secara senyap dan ini, kata beliau lebih bahaya sementara kedai gunting rambut mengikut peraturan tertakluk kepada SOP termasuk MySejahtera.

Katanya, ahli persatuan bimbang bagaimana mahu membayar sewa kedai kerana mereka tidak akan dapat apa-apa pendapatan selama sebulan.

“Kami harap kerajaan akan memberi bantuan wang tunai kepada kedai gunting rambut pada jangka masa ini kerana kami tidak boleh bekerja dan industri gunting rambut masih merasai kesan PKP pertama dulu,” katanya.

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura Ho Su Mong berkata, ini adalah berita buruk untuk industri makanan dan minuman kerana larangan makan di premis memberi impak besar ke atas perniagaan ketika PKP.

Ho Su Mong.

“Kami berdepan keadaan yang getir. Kira-kira 150 ahli kami sudah tutup perniagaan buat sementara kerana tidak dapat pulangan, modal pun bergantung kepada khidmat bawa pulang makanan,” katanya memaklumkan tidak akan terkejut jika ramai akan terus “gulung tikar”.

Ho menggesa kerajaan membantu pengusaha restoran terutama mengenai masalah sewa yang merupakan 30% kos operasi.

“Hong Kong memberi subsidi sewa kira-kira 70% sekurang-kurangnya untuk tujuh bulan manakala subsidi di Jepun ialah dua pertiga untuk enam bulan. Subsidi boleh dihadkan tetapi kerajaan mesti faham kadar sewa di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kota Kinabalu sememangnya tinggi,” katanya.

Di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, katanya sewa untuk satu lot kedai boleh mencapai antara RM8,000 ke RM25,000 sebulan.

Beri kami pelepasan cukai, moratorium

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia Shamsuddin Bardan berkata, negara kerugian hasil berjumlah RM2.8 bilion setiap hari ketika PKP pertama tahun lalu dan kali ini keadaanya tidak akan berubah.

Beliau berkata demikian kepada FMT selepas kerajaan mengumumkan PKP yang dijadualkan berakhir esok dilanjutkan hingga 18 Feb ini.

Shamsuddin mahu kerajaan mengurangkan cukai korporat dan pendapatan kepada maksima 18% bukannya 30% kerana perniagaan mengalami kesusahan akibat ekonomi lemah semasa PKP.

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula, beliau berharap caruman bulanan 11% oleh majikan dikurangkan sementara subsidi upah RM600 untuk kakitangan dilanjutkan melepasi Mac tahun ini.

“Kita akan ada masalah pengaliran wang tunai dan kakitangan perlu bantuan. Tahun lalu kita alami kerugian, hasil negatif dan masih beroperasi dalam kerugian,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Marimuthu Nadason mahu moratorium pinjaman menyeluruh berikutan lanjutan PKP.

Beliau mahu kerajaan memberi RM5,000 kepada golongan yang diberhentikan kerja dan menawarkan elaun RM1,200 atau kadar gaji minima bagi mereka yag tidak mempunyai pekerjaan .

“Adalah tanggungjawab kerajaan untuk memastikan golongan yang paling terkesan akibat PKP ini tidak kelaparan,” kata Marimuthu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *