Bajau Laut Di Semporna Memang Muslim – Mufti Sabah

Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar

KOTA KINABALU: Komuniti Bajau Laut atau Palauh di Semporna memang diklasifikasikan sebagai penganut beragama Islam.

Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, berdasarkan laporan dan tinjauan yang dilakukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), masyarakat Palauh ini memang diklasifikasikan sebagai Islam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai aktiviti dakwah Ebit Lew dalam mengendalikan pengislaman beramai-ramai di Pulau Tatagan, Semporna pada Isnin.

Bungsu berkata, berdasarkan laporan dan tinjauan Jheains pada beberapa tahun lepas, komuniti Palauh ini memang beragama Islam.

“Proses untuk masuk Islam ini sangat mudah dimana, seseorang hanya perlu yakin dengan kewujudan Allah dan percaya tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah. Kemudian mereka perlu melafaz dua kalimah Syahadah.

“Selepas itu, pada pandangan Islam, mereka sudah memasuki agama Islam,” katanya kepada Malaymail Online, semalam.

Bungsu berkata, beliau memang maklum mengenai lawatan pendakwah bebas, Ebit Lew ke Sabah. Bagaimanapun, program pengislaman beramai-ramai itu adalah program yang tidak dirancang.

Menurutnya, proses pendaftaran individu memeluk Islam ini berbeza dalam kes ini kerana 157 penduduk Pulau Tatagan, Semporna ini tidak mempunyai kewarganegaraan (stateless) dan tinggal di atas bot.

“Dalam kes ini, prosesnya berbeza. Kebiasaannya, apabila seseorang baru memeluk agama Islam, individu ini perlu datang ke pejabat agama untuk proses pendaftaran. Namun, dalam kes membabitkan golongan tiada kewarganegaraan ini, prosesnya lebih sukar.

“Jadi, biarlah isu dokumentasi ini dijawab sendiri oleh agensi berkaitan seperti Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara,” jelasnya.

Pada 31 Jan, Ebit menerusi paparan Facebooknya melahirkan rasa bersyukur kerana 157 orang Bajau Laut atau Palauh di Pulau Tatagan, Semporna memeluk Islam semasa lawatannya ke pulau itu bagi menyampaikan sumbangan makanan.

Program pengislaman itu diadakan semasa misi bantuan kemanusiaan Ebit Lew selama 10 hari ke Pantai Timur Sabah termasuk Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. Misi bantuan itu bermula sejak 28 Jan lalu. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost