Bantuan Terpaksa Dihentikan, Ebit Lew Minta Maaf Pada Penduduk Pulau Semporna Yang Di Islamkan

SEMPORNA: Pendakwah bebas, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih mesra dikenali ustaz Ebit baru-baru ini meraih perhatian ramai apabila kisahnya yang berjaya membawa satu kampung berjumlah 157 orang dari suku Bajau Laut di Sabah memeluk Islam tular di media sosial.

Tidak terhenti di situ, Ebit juga berikrar yang beliau akan terus membantu penduduk di kawasan tersebut dan kini sedang berikhtiar untuk membina sekolah serta menyediakan ustaz untuk mengajar penduduk di sana.

Namun hari ini berita menyedihkan dikongsi beliau apabila menyatakan misi bantuannya untuk membantu penduduk kepulauan tersebut terpaksa dihentikan.

“Sayu hati. Saya minta maaf pada penduduk di pulau di Semporna yang saya Islamkan. Saya tidak dapat lagi meneruskan misi bantuan. Saya tangguhkan niat bina sekolah.

“Pagi ini saya dimaklumkan saya tidak dibenarkan untuk ke Pulau-pulau di Semporna dan diminta untuk berhentikan bantuan di sekitar kepulauan ini kerana ia menyalahi undang-undang.

“Saya juga dimaklumkan yang saya bakal berdepan hukuman denda RM100,000 atau penjara tiga tahun,” tulisnya di Facebook.

Sementara itu Ustaz Ebit juga turut meluahkan kekesalan beliau kerana terpaksa menangguh pembinaan sekolah dan memohon maaf kepada ustaz dan ustazah yang bakal berkhidmat di sana.

“Saya minta maaf. Saya terpaksa menangguhkan pembinaan sekolah kecil atau pusat kegunaan masyarakat setempat yang saya rancang.

“Saya dah beli kayu-kayu. Saya dah kumpul tujuh orang guru. Semangat mereka nak mendidik dan menjadi sumber pendapatan mereka. Saya minta maaf yer ustaz ustazah semua,” tulisnya lagi dengan penuh kesal.

Ramai yang bersedih dan menangis termasuk anggota yang mengiringi beliau ketika misi bantuan dibuat dan telah dianggap sebagai keluarga.

“Saya terharu sifat baik dan kasih sayang orang Sabah. Macam keluarga sendiri.

“Sayang semua seperti mereka sayang saya. Saya sayang semua. Saya maafkan semua,” katanya.

Menurut Ebit, beliau seterusnya akan ke Tawau, Sabah dan menyempurnakan sedikit sumbangan seperti apa yang telah dijanji.

“Terima kasih semua. Sehingga berjumpa lagi jika ditakdirkan Allah. Saya serahkan segala urusan kepada Allah. Cukuplah kepada Allah orang mukmin itu berserah,” pohon Ebit kepada Yang Maha Esa.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost