Guna Dana Kendalian SKMM Beri 2 Juta Laptop Kepada Pelajar – Najib

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak menggesa Putrajaya menggunakan Tabung Perkhidmatan Sejagat (USP) dalam usaha membantu membekalkan dua juta komputer riba bagi memudahkan pelajar menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Najib berkata, dana bagi USP dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan diwujudkan ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), yang mana semua telco besar dalam negara akan menyumbang RM2 bilion setiap tahun kepada tabung itu.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga dilihat berjaya melancarkan projek mega iaitu Pelan Gantian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bernilai RM21.6 bilion, yang mana 60% dana itu daripada SKMM.

Malah, usaha NFCP itu turut diteruskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan sejumlah RM7.4 bilion akan diperuntukkan SKMM untuk memperluaskan perkhidmatan jalur lebar bagi 2021 dan 2022.

“Tahun 2022 belum sampai lagi maka peruntukan dari tabung SKMM tersebut boleh diagihkan pada tahun ini untuk memberi dua juta komputer serta pakej internet percuma untuk setahun kepada murid-murid sekolah yang terpaksa menjalani PdPR akibat Covid.

“Kos dua juta buah komputer bersama pakej internet setahun turut dianggarkan RM2 bilion. Cara ini juga pernah digunakan kerajaan BN dahulu untuk memberi sekitar 1.7 juta netbook 1Malaysia semasa saya perdana menteri, dana juga dari tabung SKMM,” katanya di Facebook.

Sebelum ini, Najib dilihat mempersoalkan mengapa dana daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terbabit bagi program pemberian komputer kepada 150,000 pelajar.

Menurutnya, tidak wajar Putrajaya menggunakan wang rakyat untuk suatu inisiatif yang sepatutnya dibayar daripada bajet kerajaan persekutuan. Baginya, adalah lebih baik jika dana daripada Khazanah Nasional Berhad dan Petroliam Nasional Bhd digunakan.

Najib berkata, bagi memulihkan dana tabungan SKMM tersebut, kerajaan PN boleh mempertimbangkan untuk menjual spektrum 5G secara tender terbuka, seperti dibuat negara lain.

“Kerajaan PN tidak boleh sekali lagi memberi spektrum dan lesen 5G secara senyap-senyap tanpa tender dan terpaksa U-Turn apabila pemberian itu terbongkar dalam media seperti apa yang berlaku tahun lepas. Nanti Lim Kit Siang tuduh PN songlap lagi pula.

“Tender terbuka spektrum 5G Malaysia adalah satu keperluan sebab kekuatan kewangan kerajaan dan Petronas sudah terjejas akibat tempoh PH yang tambah hutang negara. Buatlah cara ini serta-merta sebab saya percaya dana dalam Tabung USP ini masih ada,” katanya.

Najib percaya, syarikat telco tidak akan membantah perkara itu dengan lantang, memandangkan mereka juga berpeluang menaikkan pendapatan dengan tambahan dua juta pelanggan pakej internet yang diberi bersama komputer kepada pelajar. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1754