Covid-19: Kluster Jalan Sulaman Babitkan Pekerja Pasar Raya

KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 menurun selama empat hari berturut-turut kepada 295 kes, satu kematian dan satu kluster baharu.

Kluster baharu iaitu kluster Jalan Sulaman, Kota Kinabalu membabitkan kakitangan sebuah pasar raya di Sulaman. Sebanyak enam kes baharu dikesan bagi kluster ini dengan bilangan kumulatif sebanyak 23 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kes kematian hari ini dilaporkan di Putatan.

Masidi berkata, daripada 295 kes baharu hari ini, Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi dengan 52 kes, diikuti Tawau (47), Putatan (30), Penampang (22), Keningau (17), Kudat (16), Papar (14), Lahad Datu (13), Sandakan (13), Kunak (13), Kota Marudu (10), Tuaran (9), Beaufort (7), Kalabakan (6), Kinabatangan (5), Kuala Penyu (5) dan tiga kes di Ranau, Kota Belud dan Semporna.

Manakala, dua kes di Pitas, Nabawan dan Tenom serta satu kes di Telupid.

Menurutnya, daripada 295 kes positif itu, sebanyak 211 kes atau 71.5 peratus dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 55 kes, saringan kluster baharu dan sedia ada 10 kes, saringan pra kemasukan wad enam kes, saringan pelajar masuk asrama dua kes dan 11 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara itu, sebanyak 419 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 43,628 kes. Kes kematian di Sabah bertambah menjadi 316 kes.

Setakat ini, sebanyak 47,737 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 2,618 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 772 orang di hospital dan 1,844 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Terdapat 95 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 26 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah adalah 6,506 katil dan peratus penggunaan adalah 40.24 peratus.

Hari ini, berlaku pengurangan katil di Hospital Duchess of Kent, Sandakan 28 katil, PKRC Taman Sri Sapagaya 252 katil dan PKRC Kudat Rest House 18 katil berikutan kemasukan pesakit Covid-19 berkurang.

Dengan pengurangan katil itu, fasiliti hospital dan PKRC sedia ada masih mampu menerima dan merawat pesakit Covid-19 dengan selesa dan selamat. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *