Kerajaan Sasar 75,000 Divaksin Sehari Bermula Mac

Kerajaan akan menentukan lokasi pusat vaksinasi berdasarkan kepadatan penduduk dan jangkaan permintaan. – Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan 75,000 orang divaksin setiap hari apabila program vaksinasi negara dilancarkan dengan 600 lokasi imunisasi disediakan mulai Mac ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dalam wawancara bersama portal kesihatan, CodeBlue berkata, ia adalah sasaran awal kerajaan, dengan matlamat seterusnya 150,000 orang divaksin sehari, bergantung kepada bekalan.

Beliau berkata, kemungkinan berlaku masalah kelewatan bekalan membabitkan vaksin Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca, serta vaksin CoronaVac yang dihasilkan firma China dan Sputnik V oleh Russia.

“Portfolio vaksin akan terus diimbangi dan terus disesuaikan supaya kita dapat perolehi jumlah sepatutnya sehingga suku keempat tahun ini. Kita mahu berusaha untuk mencapai seramai mungkin pada suku kedua, ketiga dan keempat.”

Katanya, sasaran vaksinasi untuk 27 juta orang atau 80% daripada populasi paling cepat dicapai Disember ini atau Mac 2022 lebih realistik.

Walaupun jangkaan kakitangan untuk program vaksinasi ialah kira-kira 7,000, Khairy berkata, jumlah itu mungkin mencecah 10,000 orang jika lebih banyak lokasi vaksinasi diwujudkan.

Selain doktor, pembantu perubatan, jururawat, penyelia jururawat, katanya, pelajar perubatan, sukarelawan serta NGO, termasuk Persatuan Bulan Sabit Merah dan St John Ambulance turut akan digerakkan untuk membantu program vaksinasi itu.

Beliau berkata, kerajaan akan menentukan lokasi pusat vaksinasi berdasarkan kepadatan penduduk dan jangkaan permintaan, di mana tapak vaksinasi terbabit ialah hospital, klinik kesihatan serta kemudahan kesihatan swasta.

“Kita sudah mengenal pasti kira-kira 600 lokasi vaksinasi. Tetapi, kami juga melihat lokasi lain seperti stadium dan venue besar lain,” katanya sambil menambah pusat vaksinasi mungkin beroperasi 24 jam.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *