Manipulasi Harga Pelaratan Elektronik, KPDNHEP Sabah Keluarkan Lima Notis

KOTA KINABALU: Tindakan lima premis yang disyaki menaikkan harga peralatan elektronik menyebabkan kesemua premis tersebut diberikan notis oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Sabah.

Pengeluaran notis itu dilakukan dibawah pelaksanaan Ops Catut 8.0 bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga peralatan elektronik berikutan permintaan yang tinggi akibat pembelajaran online.

Pengarah Pejabat KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, barangan yang diperiksa adalah komputer, komputer riba, tablet, mesin pencetak dan telefon bimbit.

Beliau berkata, dalam pemeriksaan yang dijalankan sejak 26 Jan, KPDNHEP Sabah telah menjalankan pemeriksaan ke atas lima premis perniagaan dan mengeluarkan lima notis kepada peniaga peralatan elektronik kerana disyaki menaikkan harga.

“Pemeriksaan ke atas premis-premis perniagaan yang menjual peralatan elektronik seperti set komputer, komputer riba, mesin pencetak dan telefon bimbit dilakukan kerana didapati bekalan peralatan elektronik berkenaan mencatatkan jualan tinggi terutama, mesin pencetak dan komputer riba.

“Lima notis yang dikeluarkan kepada peniaga itu adalah untuk mendapatkan perincian harga jualan dan harga kos barangan bagi tujuan siasatan lanjut sama ada berlaku pengambilan keuntungan berlebihan atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, kesemua peniaga diberikan tempoh dua hari untuk membekalkan maklumat yang diarahkan kepada KPDNHEP.

Katanya, Ops Catut 8.0 yang dijalankan sehingga 8 Feb ini bertujuan untuk membendung salah laku atau manipulasi harga oleh peniaga susulan pembelajaran dalam talian bagi murid dan pelajar untuk sesi persekolahan yang bermula 20 Jan lalu.

Justeru itu, beliau mengingatkan semua peniaga agar tidak menaikkan harga peralatan elektronik seperti komputer meja, komputer riba, tablet, mesin pencetak dan telefon bimbit. Sekiranya didapati berlakunya pengambilan untung yang berlebihan, tindakan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 akan diambil ke atas peniaga yang terbabit.

Mana-mana orang yang disabitkan atas suatu kesalahan di bawah Akta ini boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Katanya, orang ramai juga boleh menyalurkan aduan ke sembilan saluran aduan pengguna seperti portal aduan KPDNHEP, Whatsapp kepada 0192794317 atau hubungi talian aduan 1800-886-800. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *