Sabah FC Minat Khidmat Diaz

Diaz ketia beraksi bersama JDT.

KOTA KINABALU: Pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jorge Pereyra Diaz sememangnya berada dalam radar beliau namun beberapa perkara perlu diambil kira sebelum mengikat pemain dari Argentina itu.

Katanya, beliau bersama barisan kejurulatihan bersetuju yang bekas penjaring terbanyak Liga Super 2016 itu sesuai dengan corak permainan pasukan dan pihak pengurusan juga sedia maklum mengenainya.

“Bagaimanapun beberapa perkara perlu kita teliti, kita mahu tahu kenapa dia tinggalkan JDT dulu, bagaimana tahap kecergasannya ketika ini, dan adakah beliau cedera atau tidak.

“Semua ini penting dan proses ini juga terpakai kepada semua pemain import yang kita bercadang untuk mengambilnya kerana kita tidak mahu sebarang perkara negatif berlaku ketika saingan nanti termasuk kecederaan dan sebagainya… kita harus pelajari apa yang berlaku musim lalu, katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Kurniawan berkata, pihak Sabah FC pada dasarnya sudah bersetuju berhubung soal bayaran Diaz dan beliau juga ada berhubung dengan ejen pemain itu sebelum ini.

“Apapun keputusan hanya akan dibuat selepas beberapa perkara dimuktamadkan, buat masa ini apa yang saya boleh katakan saya memang berminat dengan dia (Diaz), corak permainannya sesuai dengan pasukan,” katanya.

Diaz sebelum ini pernah beraksi di Mexico, Argentina dan Bolivia selepas meninggalkan skuad Harimau Selatan pada 2018 lalu.

Sementara itu, Kurniawan berkata, skuad kendaliannya kini hanya berlatih secara sendiri di rumah masing-masing berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

“Semua pemain hanya berlatih di rumah namun kali ini lebih baik berbanding PKP terdahulu kerana mereka boleh berlatih di luar rumah.

“Barisan jurulatih juga memantau latihan pemain dan mereka juga diberikan program latihan setiap hari.

“Apapun kita harap akan dapat segera kembali ke padang untuk berlatih kerana sememangnya berlatih tanpa bola itu agak sukar sedikit,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *