Pelajar Tahfiz Bergejala Cetus Kluster Kampung Bombalai

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Pelajar tahfiz Madrasah Sulaimanniyah di Bombalai, Kalabakan yang dikesan positif Covid-19 minggu lalu mencetuskan Kluster Kampung Bombalai yang dilaporkan di Sabah semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, seorang pelajar di madrasah terbabit dikesan positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 16 Januari lalu.

Beliau berkata, berikutan itu saringan kontak rapat dijalankan terhadap pelajar lain dan tenaga pengajar di madrasah berkenaan menyebabkan jumlah positif bertambah kepada 16 kes setakat ini.

“Pada hari ini, satu kluster baharu dilaporkan di Sabah iaitu Kluster Kampung Bombalai di Kalabakan membabitkan dua kes baharu dikesan daripada saringan kontak rapat menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 16 kes.

“Kes indeks ialah pelajar Tahfiz Madrasah Sulaimanniyah di Bombalai yang disahkan positif pada 16 Januari 2021 melalui saringan bergejala.

“Saringan kontak rapat dan pengesanan punca jangkitan masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan media perkembangan Covid-19 Sabah, di sini, malam ini.

Sabah merekodkan sebanyak 498 kes baharu Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 46,360 kes manakala seramai 434 pesakit dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh seramai 42,013 orang.

Seramai 2,783 pesakit masih menerima rawatan iaitu 856 orang di hospital, 1,908 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam serta 19 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS), dengan 87 orang ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 18 memerlukan alat bantuan pernafasan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3693