PKP: Masa Depan Tukang Gunting Rambut Makin Kabur

Masa depan tukang gunting rambut dilihat semakin kabur selepas terpaksa menutup semula perniagaan mereka akibat pelaksanaan PKP.

KUALA LUMPUR: Pada fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, perkhidmatan guntingan, dandanan rambut dan pusat kecantikan adalah antara sektor terakhir diberikan kebenaran beroperasi.

Alasannya, ia sukar mematuhi arahan penjarakan sosial ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) kerana membabitkan sentuhan fizikal dan dikhuatiri meningkatkan risiko jangkitan COVID-19.

Ironinya, selepas dibenarkan beroperasi bermula 10 Jun tahun lalu ketika fasa PKP Pemulihan, sektor berkenaan yang menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar berjumlah RM13.5 bilion setahun tidak pernah pun ‘melakar’ kluster baharu COVID-19.

Tidak dinafikan sememangnya wujud kes positif, namun itu pun hanya membabitkan tukang gunting rambut warga asing yang didapati memberikan perkhidmatan secara tidak sah dari rumah ke rumah sebelum kebenaran rasmi diberikan.

Tatkala baru bertatih semula selepas terjejas teruk akibat dipaksa ‘berhibenarsi’, sejarah kembali berulang kepada kira-kira 74,500 tenaga kerja dari 16,728 perniagaan berdaftar di bawah sektor itu yang terpaksa sekali lagi menutup pintu perniagaan mereka pada pelaksanaan PKP 2.0 kali ini.

Wakil Gabungan Pendandan Rambut Malaysia, Bambang Sutrisno Soteto ketika dihubungi Bernama, berkata sejak PKP dilaksanakan Mac tahun lalu sehingga kini kira-kira 5,800 salon dan pusat dandanan rambut terpaksa gulung tikar.

Bimbang semakin ramai terpaksa gulung tikar kali ini, beliau berkata pihaknya sudah menghantar surat rayuan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk memohon kebenaran beroperasi.

“Sebelum ini kami sudah membuktikan mampu mematuhi SOP ditetapkan dan tidak pernah lagi wujud kluster gunting rambut, kami yakin kali ini kami juga mampu mematuhi SOP berkenaan,” katanya.

Antara SOP ditetapkan kerajaan bagi sektor ini termasuk pemakaian pelindung muka, apron pakai buang dan satu set sarung tangan bagi setiap pelanggan serta menjaga jarak antara pelanggan sekurang-kurangnya dua meter, selain memastikan bilangan pelanggan mengikut keluasan premis.

Sementara itu, Presiden Persatuan Spa Malaysia (Amspa) Datin Jeanette Tembakau khuatir industri spa juga bakal ‘nazak’ sekiranya terus tidak mendapat kebenaran untuk beroperasi.

Sehingga kini, beliau anggarkan terdapat kira-kira 60 spa yang terpaksa ditutup kerana tidak mampu menanggung bebanan kos.

“Kami sangatlah menitikberatkan kebersihan dan pematuhan SOP sewaktu bekerja. Malah dalam satu bilik pun biasanya paling ramai dua pelanggan saja dan katil juga memang diletakkan berjauhan. Kami turut mewajibkan latihan berhubung SOP kepada spa terapi kami secara dalam talian,” katanya.

Beliau juga menyatakan industri spa sebenarnya boleh diumpamakan sebahagian daripada perkhidmatan perlu memandangkan fungsinya berkaitan dengan kesihatan terutamanya terapi yang sangat berkesan untuk mengurangkan tekanan.

“Sekarang memang banyak orang menghadapi tekanan terutamanya apabila ‘terperangkap’ disuruh duduk di rumah, bekerja di rumah. Kurang pergerakan menyebabkan tubuh badan letih dan tidak bermaya,” katanya menambah bahawa ketika ini terdapat lebih kurang 400 ahli berdaftar di bawah Amspa.

Seorang pengusaha spa selama lima tahun, Shalwiza Rahmat, 36, berkata seperti mana perniagaan lain, mereka juga perlu ‘survive’, perlu ada aliran tunai untuk menanggung gaji pekerja dan sewa premis.

“Tidak bermakna kami perlu dipinggirkan sebegini. Cukuplah tahun lalu diarah tutup selama tiga bulan.

“Masih belum pulih. Bagaikan jatuh ditimpa tangga,” kata pemilik Derma Medispa yang beroperasi di Johor.  – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1415