‘Demi Ilmu Bukit Kami Daki’

Jeffery Joseph sedang membina sebuah pondok sementara untuk anak-anaknya mengakses internet untuk pembelajaran dalam talian di Kampung Gana di Papar. – Gambar ihsan Jeffery Joseph

PAPAR: Demi mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah (PdPR), tiga beradik di Kampung Gana, dekat sini, sanggup mendaki bukit sejauh sehingga 600 meter hampir setiap hari.

Joshua Emmanual Jeffery, 12, Jordon Emmanuel Jeffery, 9, dan Joshean Emmanuel Jeffery, 8, akan mendaki bukit yang terletak di belakang rumah nenek mereka pada jam 8.30 pagi dan mengambil masa kira-kira 10 minit perjalanan untuk sampai ke lokasi terdapatnya rangkaian Internet.

Joshua Emmanual ketika ditemui hari ini berkata, walaupun terpaksa mendaki bukit untuk belajar tetapi dia berasa teruja dan seronok.

“Adik-adik pun seronok belajar di atas bukit.

“Ibu dan ayah akan menemani kami setiap kali perlu belajar secara atas talian di sana.

“Saya dan adik-adik akan berada di atas bukit selama hampir tiga jam untuk ikut kelas atas talian bersama guru atau membuat latihan,” kata murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (C) Anglo Chinese itu.

Anak sulung dari tiga beradik itu berkata, usaha bapanya yang mewujudkan tempat belajar di atas bukit mengubati rasa rindunya belajar di dalam kelas bersama guru serta rakan.

Sementara itu, bapa mereka, Jeffery Joseph, 41, berkata, dia mula terfikir mewujudkan lokasi pembelajaran anak-anaknya itu, Jumaat lalu sebelum pembukaan semua sesi persekolahan 2021, kelmarin.

“Kami sebenarnya menetap di Kota Kinabalu tetapi pulang ke kampung ini sejak Disember lalu kerana anak-anak lebih selesa berada di sini.

“Kampung ini memang mempunyai masalah telekomunikasi sejak dahulu. Hanya sesetengah tempat tertentu di dalam kampung ini mempunyai rangkaian sekiranya mahu membuat panggilan telefon atau melayari Internet.

“Apabila anak perlu menghadiri pembelajaran secara PdPR, saya terus terfikir penyelesaian agar tidak perlu berjalan jauh setiap kali mereka mahu belajar.

“Saya membuat tinjauan di sekitar atas bukit yang terdapat kebun getah di belakang rumah dan mendapati rangkaian telefon mahupun Internet boleh diperoleh di lokasi itu,” katanya yang juga anak jati Kampung Ganat.

Jeffery yang juga guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Buaian, Penampang berkata, dia membersihkan sekitar kawasan terbabit selain membina meja serta kerusi dari buluh untuk kegunaan anak sewaktu belajar secara PdPR di tempat itu. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *