Anak Gajah Borneo Pygmy Ditemukan Mati Di Ladang Sawit

Foto Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah

LAHAD DATU, 21 Jan : Seekor anak gajah jantan Borneo Pygmy ditemukan mati oleh pekerja ladang sawit di kawasan sungai di Ladang Bagahak Saru, Tungku dekat sini pada Selasa.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu Silvester Saimin berkata bangkai anak gajah berusia kurang dua tahun itu dipercayai mati sejak seminggu lepas.

“Kesemua organ didapati mengalami autolisis teruk dan bentuk organ perut tidak dapat dinilai. Jantung dan paru-paru juga mengalami autolisis yang teruk.

Foto Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah

“Punca kematian tidak dapat didiagnosis kerana bangkai mengalami autolisis yang serius,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, katanya sampel tisu paru-paru dan jantung haiwan itu sudah diambil bagi pengesanan Elephant Endotheliotropic Herpesviruses (EEHV) dan siasatan lanjut.

Silvester sebelum itu berkata bangkai anak gajah itu ditemukan dalam keadaan tidak mempunyai belalai, telinga kiri serta bibir kiri selain terdapat lubang pada bahagian perut disyaki dimakan haiwan pemangsa. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *