Polis Kota Kinabalu Lupus Barangan Rampasan Judi Siber, DVD & VCD Bernilai Lebih RM500,000

ACP Habibi Majinji (kanan)

KOTA KINABALU, 21 Jan : Polis Kota Kinabalu melupuskan barangan rampasan peralatan judi siber, cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) cetak rompak bernilai RM571,140.00 dengan menggunakan sistem pelupusan sisa elektrik dan elektronik (e-waste).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata pelupusan barangan judi siber itu melibatkan kes yang telah selesai sejak 2011 hingga 2018 melibatkan 105 tangkapan.

“Sepanjang tempoh itu seramai 105 orang ditahan melibatkan 32 kertas siasatan dan telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

ACP Habibi Majinji (empat dari kanan)

Habibi berkata jumlah keseluruhan rampasan ialah sebanyak 5,333 barangan yang terdiri daripada peralatan komputer seperti monitor, CPU, komputer riba dan papan kekunci.

Sementara sebanyak 18,228 keping DVD/VCD cetak rompak pelbagai jenis dan berunsur lucah bernilai RM91,140.00 juga dilupuskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau berkata barangan berkenaan akan dikendalikan oleh pihak syarikat Lagenda Bumimas Sdn. Bhd bagi tujuan kitar semula. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *