Periksa Beg Pesakit Elak Kes Minum Arak Di PKRC Berulang

Tangkap layar video yang tular di media sosial. – Foto tular media sosial

KOTA KINABALU: Pihak berkuasa masih menyiasat video tular di media sosial, baru-baru ini mengenai tindakan sekumpulan penghuni Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid (PKRC), di sini meminum minuman keras.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, siasatan dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pihak PDRM tidak menolak kemungkinan minuman keras itu dibawa sendiri penghuni atau dibantu kakitangan bertugas.

“JKNS memandang serius perkara ini dan jika terdapat bukti kakitangan jabatan terbabit, tindakan tatatertib boleh dikenakan selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A)395].

“Pengurusan PKRC terbabit memulakan pemeriksaan mengejut ke atas beg pesakit yang dibawa masuk ke PKRC bagi mengelakkan perkara sama berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya mengenai perkembangan harian Covid-19 di Sabah, hari ini.

Semalam, berikutan video terbabit yang tular, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Adnan Mat menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan individu terbabit. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1478