Keretakan Flyover Luyang Akan Diperbaiki Segera – JKR

KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui syarikat konsultan akan memperbaiki segera struktur Jejambat (Flyover) Luyang yang mengalami keretakan.

Pengarah JKR Sabah, Ir Ali Ahmad Hamid berkata, keretakan yang berlaku itu berikutan struktur yang berbeza dan dibawah jejambat itu terdapat perparitan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Bagaimanapun, buat sementara waktu itu, pihaknya akan meletakkan simen bagi membaiki keretakan struktur yang berlaku.

Buat masa ini, jejambat ini ditutup sementara pada laluan bahagian atas dan bawah bagi tindakan susulan untuk memperbaiki keretakan dinding yang berlaku.

“Saya akan mengadakan mesyuarat teknikal dengan segera bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai kerosakan ini,” katanya bagi mengulas mengenai isu keretakan Jejambat Luyang yang tular di laman media sosial.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang Phoong Jin Zhe melalui Facebook miliknya melahirkan kebimbangan mengenai gambar tular berkaitan keretakan jejambat Luyang.

Beliau berkata, gambar jejambat (flyover) yang retak itu tular di media sosial dan beliau telah memaklumkan perkara itu kepada JKR untuk tindakan lanjut.

Jin Zhe berkata, beliau juga telah memaklumkan perkara itu kepada Datuk Seri Bung Moktar dan memintanya agar tindakan segera dapat diambil demi keselamatan pengguna jalan raya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *