Aktiviti Hari Keluarga Punca Kluster Baru Di Tuaran

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata, satu daripada dua kluster baru yang dikesan di negeri itu dalam tempoh 24 jam lalu berpunca daripada aktiviti hari keluarga di Tuaran.

Katanya, kluster Taman Ikan Jinak mencatatkan 18 kes hari ini, menjadikan keseluruhan 21 kes positif dengan kes indeks ialah kontak rapat dari Beaufort yang menghadiri aktiviti berkenaan dan disahkan positif 12 Jan lalu melalui hasil saringan individu bergejala.

”Kes indeks adalah kontak rapat kepada menantu dari Beaufort yang menghadiri hari keluarga pada 2 hingga 3 Jan lalu di Taman Ikan Jinak, Tuaran,” katanya dalam taklimat harian Covid-19.

Beliau berkata, satu lagi kluster baru ialah Jalan Mawila yang mencatatkan kumulatif 15 kes positif setakat ini, dengan kes indeks ialah seorang penjawat awam yang dikesan positif menerusi saringan rentas negeri pada 13 Jan lalu.

“Usaha mengesan kontak rapat kedua-dua kluster terbabit giat dijalankan.”

Sementara itu, Masidi berkata, daripada 393 kes baru di Sabah hari ini, 222 kes atau 56.5% dikesan melalui saringan kontak rapat.

Katanya, 74 kes atau 18.8% berpunca daripada saringan bergejala, 36 kes (9.2%) saringan kluster aktif, 21 kes (5.3%) saringan di ladang Perkeso, lapan kes (2%) saringan pelajar masuk asrama dan 32 kes atau 8.2% lain-lain kategori.

Beliau berkata, 337 pesakit sembuh hari ini, menjadikan keseluruhan 39,326 kes pulih di negeri itu.

Katanya, seramai 2,949 pesakit masih menerima rawatan, dengan 766 orang dirawat di hospital dan 2,185 ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Jumlah pesakit Covid-19 dalam unit rawatan rapi seramai 84 orang dan 21 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

7661