Bantuan Makanan, Wang Ihsan RM500 Untuk Mangsa Banjir Di Sabah

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Bantuan bakul makanan bernilai RM200 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas banjir dan dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diagihkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, bantuan bakul makanan itu disalurkan menerusi Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA).

Manakala, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga akan mengagihkan wang ihsan berjumlah RM500 bagi setiap KIR yang terjejas. Agihan ini akan diselaraskan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pejabat Daerah yang terlibat.

Dalam pada itu, Hajiji juga menasihatkan semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa berikutan keadaan banjir dan fenomena air pasang besar yang berlaku.

Beliau berkata, kerajaan maklum bahawa terdapat enam daerah dilanda banjir iaitu Kota Marudu, Pitas, Beaufort, Lahad Datu, Paitan, Kudat dan fenomena air pasang besar di Kudat dan Kota Kinabalu.

Sehingga 12 tengah hari tadi, sebanyak 173 kampung dan seramai 841 orang mangsa yang terjejas telah ditempatkan di 16 Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Sehingga 4 petang tadi, jumlah mangsa telah berkurangan kepada 287 orang dan hanya tujuh PPS masih beroperasi.

Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah yang terlibat juga telah menggerakkan seramai 635 orang anggota daripada pelbagai agensi dalam operasi menyelamat dan memindahkan mangsa-mangsa banjir dan fenomena air pasang besar di kawasan yang terlibat.

Tambahnya, dalam menghadapi bencana banjir dan air pasang besar semasa pandemik Covid-19, kerajaan negeri amat menitik beratkan agar semua pihak yang terlibat untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *