Saringan Besar-Besaran Punca Kes Covid-19 Meningkat Di Sabah

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Pada hari kedua pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kes positif baharu Covid-19 di Sabah melonjak naik kepada 514 kes berbanding semalam.

Manakala, dua kluster baharu dan dua lagi kematian dilaporkan hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, dua kematian itu dilaporkan di Putatan dan Kota Kinabalu.

Dua kluster baharu adalah kluster Ladang Baturong, Kunak dengan 44 kes positif hari ini dan bilangan kumulatif 54 kes manakala, kluster Ladang Matamba, Lahad Datu dengan empat kes positif dan kumulatif 20 kes.

Kedua-dua kluster ini timbul susulan saringan besar-besaran yang dilakukan syarikat peladangan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Beliau berkata, daripada 514 kes baharu hari ini, Lahad Datu mencatatkan kes tertinggi dengan 81 kes, diikuti Tawau (74), Kunak (63) Kota Kinabalu (57), Penampang (45), Kinabatangan (35), Keningau (26), Sandakan (15), Pitas (14), Kota Belud (12), Putatan (12), Kalabakan (11), Kota Marudu (11), Papar (9), Beaufort (8), Kudat (7), Ranau (5), Nabawan (5), Tambunan (3), Sipitang (3), Semporna (2) dan Telupid (1).

Masidi berkata, daripada 514 kes positif itu, sebanyak 314 kes atau 61 peratus dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 80 kes, saringan kluster baharu dan kluster-kluster sedia 62 kes, saringan komuniti lima kes dan 53 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara itu, sebanyak 370 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 38,610 kes. Kes kematian di Sabah kekal 297 kes.

Setakat ini, sebanyak 42,802 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 2,868 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 786 orang di hospital dan 2,082 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Terdapat 75 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 18 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah adalah 6,729 katil dan peratus penggunaan adalah 42.62 peratus.

Hari ini PKRC Institut Kemahiran Mara (IKM), Kota Kinabalu ditutup secara rasmi berikutan PKRC lain cukup untuk menampung keperluan katil pada masa kini. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *