Polis Gerak 22 Pasukan Pemantau SOP Di Tawau

TAWAU, 14 Jan : Polis Tawau mewujudkan 22 pasukan pemantau bersama pasukan keselamatan lain bagi memastikan orang ramai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas berkata individu atau kumpulan yang ingkar SOP dan dikesan pasukan pemantau akan ditahan untuk dibawa ke balai polis bagi tindakan kompaun RM1,000.

“Dalam tempoh 24 jam pelaksanaan PKP ini, seramai 85 individu dikesan ingkar SOP namun hanya tindakan amaran diberikan kerana kita ada budi bicara dan pada hari pertama dan kedua PKP ini kita faham bahawa orang ramai masih kurang memahami SOP yang ditetapkan.

“Namun, selepas ini tindakan tegas akan diambil, terhadap individu yang ingkar dalam usaha mengekang penularan COVID-19 ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.

Peter dalam pada itu berkata Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Tawau turut menggerakkan pasukan pemantau khas iaitu pemantau bersepadu yang terdiri daripada anggota pelbagai agensi seperti Majlis Perbandaran Tawau bagi penugasan isu rumit termasuk melibatkan hal ehwal rumah ibadat.

Selain itu, katanya, sembilan sekatan jalan raya diadakan sepanjang tempoh PKP dikuatkuasakan mulai semalam dan tempoh 24 jam itu 66 kenderaan diarah berpatah balik kerana didapati bergerak tanpa alasan yang munasabah.

“Ada yang ditahan pada lewat malam dan memberi alasan keluar untuk memberi barang namun sedangkan kedai hanya beroperasi sehingga jam 8 malam,” katanya.

Sementara itu, Peter berkata polis memberi kelonggaran kepada  orang ramai yang mahu kembali ke daerah asal dengan merentas daerah sehingga esok.

Keluarga yang melakukan rentas daerah dibenarkan melebihi dua orang dalam satu kenderaan, mengikut kapasiti kenderaan, katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost