Hospital Swasta Enggan Rawat Pesakit COVID-19, Boleh Dipenjara, Didenda RM5 Juta

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Hospital swasta yang tidak memberikan kerjasama, enggan menerima dan merawat pesakit COVID-19, boleh dipenjara serta didenda sehingga RM5 juta.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata hospital swasta boleh diarahkan oleh Kementerian Kesihatan (KMM) dalam apa juga cara untuk membantu merawat individu yang dijangkiti COVID-19.

Katanya, Ordinan Darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan memudahkan tugas kerajaan mengatasi penularan COVID-19 khususnya dalam konteks kesihatan.

“Justeru, ini jelas pihak hospital swasta wajib membantu KKM menerima dan merawat individu yang dikesan dijangkiti COVID-19 tanpa boleh ada penolakan.

“Sekiranya mereka (hospital swasta) tidak memberikan kerjasama serta enggan menerima dan merawat pesakit COVID-19, mereka boleh berhadapan risiko dipenjara dan didenda sehingga RM5 juta.

“Dulu hospital swasta boleh reject (buang) pesakit dan KKM tiada kuasa untuk halang mereka namun di bawah Ordinan Darurat ini kerajaan boleh arahkan pihak hospital swasta ambil pesakit COVID-19, dan jadikan hospital mereka sebagai pusat kuarantin,” katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, semasa pelaksanaan Ordinan Darurat juga kerajaan tidak perlu bimbang dengan isu tidak cukup katil bagi pesakit COVID-19, selepas KKM boleh mengarahkan pihak swasta membenarkan penggunaan wad mereka. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1941