
TENOM: Remaja lelaki dipercayai memandu dalam keadaan mabuk merempuh sebuah klinik di Orchard Plaza, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.45 malam itu, remaja berusia 19 tahun itu mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, siasatan awal mendapati pemandu Proton Iswara berkenaan dikatakan dalam perjalanan balik selepas menghantar rakannya kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

Katanya, ketika melalui klinik berkenaan, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan sehingga merempuh pintu masuk.
“Mangsa dikatakan hilang kawalan ketika cuba membelok ke kanan sebelum terus melanggar lot klinik terbabit.
“Akibat kejadian itu, pemandu yang mengalami kecederaan ringan dibawa ke Hospital Tenom untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hasan berkata, selepas menerima rawatan, pemandu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut.
“Pemandu dipercayai di bawah pengaruh alkohol bagaimanapun kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – HMetro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost