Daerah Pitas Paling Terjejas Akibat Banjir

Keadaan Jalan Kampung Suang Duyung, Pitas yang terputus disebabkan banjir yang berlaku di daerah itu. Foto Ihsan Pembaca

KOTA KINABALU: Daerah Pitas paling terjejas akibat banjir di negeri ini berikutan terputus hubungan sejak beberapa hari lalu apabila banyak jalan dan jambatan utama rosak.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sekurang-kurangnya sembilan lokasi dikenal pasti Jabatan Kerja Raya (JKR) berlaku kerosakan yang memerlukan pembaikan segera.

Keadaan Jalan Kampung Suang Duyung dan Kampung Layak-Layak , Pitas yang terputus disebabkan banjir yang berlaku di daerah itu. Foto Ihsan Pembaca

Lokasi terbabit katanya ialah di Kilometer 53.05 Jalan Langkon – Pitas, Kilometer 1.7 Jalan Maringgan, Kilometer 0.25 Jalan Suang Duyung-Layak-Layak, Kilometer 4.25 Jalan Suang Duyung – Layak-Layak dan Jalan Sosop Bal di Kampung Rinasuk.

Turut terjejas Kilometer 15.5 Jalan Ulu Malubang, Kilometer 2 Jalan Mongkubou Laut, Kilometer 6.95 Jalan Mongkubou Laut dan Jalan Telaga yang membabitkan kerosakan jambatan Sungai Paparoun.

“Tindakan segera akan diambil pihak JKR Sabah bagi membaiki jalan dan jambatan yang runtuh akibat hujan lebat dan banjir yang berlaku di beberapa daerah di negeri ini.

Keadaan Jalan Kampung Suang Duyung dan Kampung Layak-Layak , Pitas yang terputus disebabkan banjir yang berlaku di daerah itu. Foto Ihsan Pembaca

“Saya sudah menerima laporan daripada JKR Sabah mengenai kerosakan yang berlaku dan jurutera daerah JKR di kawasan yang terbabit dengan musibah ini sudah turun padang memantau serta memberikan laporan terperinci kerosakan yang dialami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, selain daerah Pitas, JKR juga menerima laporan berlaku tanah runtuh di daerah Kota Marudu dan Beluran.

“Bagi kes jalan runtuh yang tidak terlalu serius, kerja-kerja pembersihan sudah dilaksanakan oleh pihak JKR termasuk jalan di bawah jagaan kontraktor atau syarikat yang mendapat konsesi penyelenggaraan,” katanya.

Katanya, bagi kes jalan runtuh termasuk jambatan yang memerlukan kos pembaikan yang tinggi, penilaian perlu dilakukan bagi menentukan anggaran kos pembaikan dan ia akan dilaksanakan segera.

Dalam pada itu, Bung Moktar meminta semua jurutera daerah JKR agar sentiasa memantau keadaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan kerosakan jalan raya dan jambatan jika hujan dan banjir berterusan.

Sementara itu, Pengarah JKR Sabah, Ir Ali Ahmad Hamid, berkata kejadian hujan lebat dan banjir di Kota Marudu dan Pitas punca utama berlakunya runtuhan jalan dan jambatan.

“Kita sudah menerima laporan penuh daripada jurutera daerah yang dan kita akan menilai anggaran kos untuk pembaikan segera,” katanya.

Banjir dilaporkan sejak Isnin lalu di Kudat, Kota Marudu, Pitas dan daerah kecil Paitan di Beluran disebabkan hujan lebat berterusan dengan kira-kira 1,000 mangsa kini ditempatkan di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS). – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2338