MENUMBOK: Seorang lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Melikai di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 6 pagi itu, Mohd Ikmal Abdullah, 50, yang tinggal bersama tiga ahli keluarganya dipercayai gagal menyelamatkan diri selepas terperangkap di dalam rumahnya.
Ketua Zon Bomba Beaufort, Anddre Andrew berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.12 pagi.
Katanya, sembilan anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama dua jentera.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, terdapat dua rumah berkeluasan 353 meter persegi terbakar dan musnah hampir 100 peratus.
“Operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan sehingga api berjaya dikawal sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, sebaik api berjaya dipadamkan sepenuhnya, pemeriksaan menemukan mayat mangsa dalam keadaan rentung di bahagian dapur rumah.
“Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost