Mangsa Banjir Di Sabah Terus Meningkat

Penduduk Kampung Korina Sikuati di Kudat meninggalkan rumah mereka untuk berpindah ke PPS.- Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir membabitkan lima daerah di negeri ini terus meningkat hari ini.

Penduduk terjejas bertambah kepada 935 mangsa setakat jam 10 pagi hari ini berbanding 853 orang, malam tadi.

Lima daerah terjejas banjir ialah Kota Marudu, Pitas, Beaufort, Lahad Datu, Paitan dan Kudat.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah berkata, Kota Marudu kekal mempunyai bilangan mangsa banjir tertinggi iaitu 651 orang.

Menurutnya, semua penduduk daripada 20 kampung itu kini masih ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Taritipan, Dewan Kampung Asin-Asin, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek dan SK Advent Damai.

“Selain itu, 146 orang mangsa banjir berada di tiga PPS bagi daerah Pitas.

“Semua mangsa ini adalah terdiri daripada 47 kampung sekitar daerah berkenaan.

“Seramai 62 orang berada di SK Pekan ll, Dewan Kampung Kusilad (43 orang) dan SK Salimpodon (41 orang),” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap APM menyatakan 45 mangsa banjir di tempatkan di Dewan Binsulung, Paitan manakala 41 orang berada di Dewan Arena Belia dan Sukan Kudat.

Sementara itu, seramai 28 penduduk membabitkan enam keluarga masih berada di Dewan Kolej Vokasional Pertanian, Lahad Datu manakala 24 mangsa di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1154