Penolong Pengarah Agensi Kerajaan Antara 7 Ditahan SPRM Sabah

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy yang mengesahkan tangkapan itu berkata, beberapa lagi individu akan ditahan untuk membantu siasatan kes itu.

KOTA KINABALU: Tujuh individu, termasuk seorang penolong pengarah di sebuah agensi kerajaan serta tiga orang awam yang disyaki menjadi orang tengah ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengeluaran sijil kontraktor “ekspres” di sini.

Sumber berkata, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak setahun lalu membabitkan pengeluaran sijil kontraktor seperti borang pendaftaran untuk kontraktor kerja, bekalan dan perkhidmatan Sabah (Pukonsa), sijil pembinaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan sijil taraf bumiputera.

“Pemohon sijil hanya perlu membayar RM500 hingga RM1,500 kepada pegawai kerajaan di agensi berkaitan bagi mempercepatkan pengeluaran sijil-sijil terbabit tanpa perlu melalui pemeriksaan serta proses sepatutnya,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy mengesahkan tangkapan itu dan berkata beberapa lagi individu akan ditahan untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut memandangkan kes itu masih dalam siasatan.

“Saya juga ingin menasihati mana-mana pihak, khususnya kontraktor yang mempunyai maklumat berhubung isu rasuah untuk mendapatkan sijil-sijil seperti mana yang dikatakan itu tampil bagi membantu siasatan.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *