Aktiviti Sosial Punca Penularan COVID-19 Di Sabah

KOTA KINABALU, 6 Jan : Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata kewujudan hampir kesemua kluster COVID-19 di Sabah berpunca daripada aktiviti sosial seperti majlis keramaian. 

Sehubungan itu, Masidi yang juga jurucakap rasmi COVID-19 di Sabah menasihatkan agar orang ramai mengurangkan aktiviti sosial bagi mengelakkan peningkatan jumlah kes COVID-19 di negeri ini.

“Kita melihat peningkatan COVID-19 di Sabah berpunca daripada aktiviti sosial atau jangkitan komuniti yang berjumpa dalam satu majlis keramaian. 

Sekiranya mengadakan keramaian seperti sambutan hari jadi dan sebagainya jangan menjemput orang luar, khususnya orang yang berada jauh dari rumah kita kerana kita tidak tahu sama ada dia dijangkiti COVID-19 atau pun tidak. Kejadian seumpama ini sudah banyak berlaku dan kita tidak mahu situasi COVID-19 di Sabah semakin memburuk,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam ini. 

Beliau berkata kini terdapat trend peningkatan COVID-19 di Sabah selepas banyak aktiviti sosial yang diadakan sejak penghujung tahun lepas. 

“Ada individu yang telah dijangkiti COVID-19 tanpa sebarang simptom…oleh itu kita perlu jaga keluarga kita dan jangan sesekali jemput orang luar datang untuk mengadakan pesta di rumah masing-masing,” katanya. 

Masidi juga menasihatkan orang ramai yang pernah berjumpa dengan pesakit COVID-19 untuk segera melakukan ujian saringan. 

“Jangan cuba rahsiakan sekiranya pernah berjumpa dengan pesakit COVID-19 kerana terdapat juga kes jangkitan komuniti berlaku tanpa diketahui punca kerana orang yang dijangkiti COVID-19 masih berjalan-jalan kerana menyangka masih sihat kerana tiada simptom,” katanya. 

Sementara itu, Masidi berkata Sabah mencatatkan 405 kes positif baharu hari ini menjadikan sejumlah 38,960 kes kumulatif di Sabah dan dua kes kematian direkodkan. 

“Sebanyak 192 pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 35,936 orang. Seramai 1,642 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 668 orang di hospital dan 1,624 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC)  serta 60 kes di unit rawatan rapi (ICU) dan 19 kes memerlukan  alat bantuan pernafasan,” katanya.

Masidi berkata hari ini Daerah Nabawan yang sebelum ini zon hijau telah bertukar kepada zon merah menjadikan tiada lagi zon hijau di Sabah. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *