JKR Sabah Perlu Wujud Bank Data Masalah Jalan Raya – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 5 Jan : Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah perlu mewujudkan bank data berhubung masalah jalan raya di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah bagi memastikan masalah itu dapat diselesaikan mengikut keutamaan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata kewujudan bank data akan membolehkan kerajaan mengenal pasti keperluan mendesak untuk membuat atau membaiki jalan raya di kawasan tertentu.

“Bank data yang akan diwujudkan itu akan memuatkan maklumat mengenai semua jalan rosak dan perlu dibaiki mengikut keperluan mendesak. Masalah jalan raya di Sabah ini sudah berlarutan sekian lama dan kita perlu memikirkan cara yang bijaksana untuk berhadapan serta menyelesaikan masalah berkenaan.

“Selain itu, kita juga minta semua pihak bekerjasama dengan memberikan idea bernas dan bukan mahu menghentam kerajaan sahaja,” katanya semasa berucap pada Majlis Amanat dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JKR Sabah di sini hari ini.

Bung Moktar turut memberi jaminan akan memberi keutamaan terhadap masalah jalan raya, bekalan air dan elektrik di Sabah.

Bagaimanapun, beliau meminta diberi tempoh untuk menyelesaikan masalah bekalan air dan elektrik kerana baru sahaja menyandang jawatan itu kira-kira tiga bulan lepas.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas majlis berkenaan, Bung Moktar berkata empangan yang sepatutnya dibina di Papar akan dipindahkan ke daerah Penampang.

“Kita akan teruskan pembinaan empangan berkenaan atas beberapa faktor. Sekiranya empangan itu dibina di Papar, tahap capaian air hanya bertahan hingga 60 tahun sahaja.

“Namun sekiranya dibina di Penampang, capaian air akan bertahan hingga 85 tahun… oleh itu kita memutuskan untuk memindahkan pembinaan empangan berkenaan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2352