Jangan Rosakkan Penyatuan GRS – Ketua ARMADA BERSATU Sabah

KOTA KINABALU: Semua pihak diminta berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan khususnya berhubung isu yang boleh menggugat penyatuan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU Sabah, Fairuz Renddan mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak membuat tuduhan sembarangan, sebaliknya membuat kajian terlebih dahulu.

“Kaji dahulu sebelum bercakap atau berbahas mengenai sesuatu isu, apatah lagi jika membabitkan perkara sensitif yang mampu menjejaskan perpaduan serta penyatuan dalam GRS.

“Penyatuan yang dibentuk ini adalah wadah kepada kerjasama yang akan diteruskan untuk kebaikan bersama dan jika ada pihak sengaja ‘mencucuk’ atau menjadi ‘batu api’ yang sengaja memanaskan keadaan, semestinya ini tidak baik untuk semua pihak,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sebelum ini Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa mengatakan BERSATU cuba ‘mencuri’ dan ‘membeli’ ahli parti dari UMNO.

Kenyataan Asyraf Wajdi itu disusuli kenyataan balas Ketua Pemuda UMNO Sabah, Abdul Aziz Julkarnain yang turut mendakwa BERSATU hampir berjaya menarik semua ahli UMNO Sabah.

Kenyataan kedua-dua pemimpin UMNO itu disanggah Fairuz yang turut mempersoalkan sumber rujukan mereka.

“Dari mana dia (Aziz) tahu dan pasti mengenai perkara ini? Semua ahli UMNO Sabah yang keluar dulu menjadi bebas dan menyertai BERSATU secara sukarela selepas BERSATU masuk ke Sabah pada 6 April lalu.

“Dari mana pula timbul isu BERSATU ‘membeli’ dan ‘mencuri’ ahli UMNO?,” katanya.

Fairuz berkata tindakan Abdul Aziz yang melemparkan tuduhan tidak berasas itu seolah-olah mahu memecah-belahkan penyatuan dalam GRS.

“Jangan cakap jika tidak ada bukti, jika tidak tahu apa-apa, jangan tunjuk macam tahu segala-galanya.

“Jangan rosakkan penyatuan GRS yang menjalinkan UMNO dan BERSATU sebagai rakan kongsi membentuk kerajaan Sabah,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1080