3 Nelayan Hilang Sejak Jumaat Lalu Ditemui Selamat

Tiga  nelayan berjaya diselamatkan oleh anggota TLDM KD Todak di perairan Permatang Ubi, kira-kira 160 batu nautika Barat Laut dari Kota Kinabalu. – Gambar Ihsan TLDM

KOTA KINABALU: Tiga nelayan yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu, ditemukan dalam keadaan selamat oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada petang hari ini.

Ketiga-tiga nelayan itu ditemui pada 5 petang di sekitar perairan Permatang Ubi kira-kira 160 batu nautika barat laut dari sini, selepas menerima maklumat pada 10 pagi.

Difahamkan, bot nelayan bersama 12 awak-awak serta tekong sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan perairan berkenaan.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka itu bersama tiga bot pancing sokongan hilang dipercayai terputus hubungan dengan bot induk yang pada ketika itu berjauhan dan mengalami cuaca yang buruk.

Pegawai Memerintah KD Todak Leftenan Komander Mohd Rozaimi Mahmod berkata, pihaknya yang sedang melaksanakan operasi di kawasan berkenaan kemudian digerakkan bagi menjalankan operasi pencarian mangsa yang hilang.

Menurutnya, selepas hampir tujuh jam dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) akhirnya ketiga-tiga nelayan terbabit berjaya ditemukan.

“Ketiga-tiga mereka ditemukan terapung dan berada dalam keadaan yang sangat lemah kerana hampir dua hari terputus bekalan makanan.

“Seterusnya kapal menghulurkan bantuan awal dengan menyediakan makanan dan minuman panas sebelum menyerahkan awak-awak terbabit kepada bot induk untuk belayar pulang ke Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan media. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1830