(VIDEO) Budak Main Basikal Jam 3 Pagi Di Putatan Disangka Hantu

Tangkap layar video yang tular di Tiktok.

PENAMPANG: Misteri kanak-kanak lelaki bermain basikal seorang diri di Kampung (Kg) Pasir Putih, Putatan pada 3 pagi yang tular di laman media sosial akhirnya terjawab.

Kanak-kanak itu difahamkan menghidap autism dan keluar bermain basikal berhampiran dengan rumah mereka.

Aksi kanak-kanak itu dirakam oleh pengguna jalan raya yang kebetulan memandu kenderaan melalui jalan tersebut.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superitendan Mohd Haris Ibrahim mengesahkan kejadian itu berlaku pada 30 Dis lalu di simpang Kampung Pasir Putih, Putatan.

Mohd Haris berkata, pihaknya menerima laporan itu daripada orang awam yang datang ke balai dan menyatakan ternampak seorang budak lelaki berusia kira-kira empat tahun bermain basikal bersendirian.

Dengan itu, anggota bertugas terus ke lokasi kejadian bagi memeriksa keadaan. Sebaik tiba dilokasi dimaklumkan, anggota polis menemui kanak-kanak tersebut.

“Kanak-kanak itu dibawa ke Balai Polis Putatan dalam keadaan selamat, kemudian ibu kanak-kanak ini datang ke balai bagi memaklumkan ketiadaan anaknya di rumah,” jelasnya.

Kanak-kanak itu kemudian dibawa pulang oleh ibunya ke rumah mereka yang terletak di Kg Pasir Putih.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

7562